Utusan Malaysia – Goodnite, UM Buat Kajian Pola Tidur Berkualiti

Goodnite, UM Buat Kajian Pola Tidur Berkualiti

PETALING JAYA: Goodnite International Sdn.Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Malaya (UM) menerusi satu kajian berkenaan pola tidur bertujuan meningkatkan kualiti tidur serta menghasilkan tilam yang berkualiti.

Pengarah Urusan Kumpulan Goodnite, Teo Yek Ming berkata, kerjasama tersebut merupakan satu inisiatif Goodnite untuk mencapai objektif utama melalui kempen ‘Tidur Lena, Hidup Sejahtera.’ “

“Kempen ini sebagai satu langkah yang memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menjalani kehidupan yang sihat dengan tidur yang cukup,” katanya ketika menandatangani MoU bersama UM di Goodnite Outlet, Petaling Jaya hari ini.

Bukan itu sahaja, menjelang 2026, Goodnite berharap untuk memiliki 60 buah kedai perabot, mengekalkan 500 pengedar di seluruh negara serta mengembangkan lagi projek eksport, pemaju dan jualan korporat yang lebih besar dalam pasaran.

“Goodnite mempunyai perancangan untuk menambah beberapa barisan produk baharu seperti koleksi peralatan tempat tidur, barangan hiasan dan juga langsir untuk memenuhi keperluan rumah,” katanya.

Menurutnya, ini adalah untuk menyediakan pelanggan dengan transformasi rumah dengan pelbagai jenis reka bentuk modular sedia dengan cara yang lebih mudah dan pantas,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan Pasca Siswazah UM, Prof. Ngoh Gek Cheng menjelaskan, penyelidikan yang dijalankan bersama Goodnite tersebut merupakan satu langkah untuk membuka satu perspektif baharu berkenaan pentingnya mendapat tidur yang berkualiti.

“Tajuk penyelidikan UM untuk projek ini ialah Kajian Komprehensif tentang Corak Tidur dan Pengesyoran Peribadi untuk Pemilihan Tilam Optimum merentas Kumpulan Umur Berbeza.

“Daripada kajian ini, kita dapat kenal pasti corak tidur, demografi pengguna dan mengenali dengan lebih mendalam berkenaan keperluan tilam yang sesuai dengan keperluan pelanggan,” jelasnya.

Beliau berkata, peluang ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup bahkan dapat menyumbang kepada wacana akedemik yang akan membawa implikasi positif kepada masyarakat.

“Saya yakin perkongsian ini akan menjadi model untuk kerjasama masa depan, menekankan kuasa transformatif menggabungkan kecemerlangan akademik dengan pandangan industri.

Bersama-sama, kita membuka jalan untuk masa depan di mana penyelesaian yang didorong oleh penyelidikan memberi impak positif kepada kehidupan,” katanya.