Berita Harian – LBS perkenal inisiatif baharu kesetiaan pelanggan

LBS perkenal inisiatif baharu kesetiaan pelanggan

PETALING JAYA: LBS Bina Group Bhd (LBS) memperkenalkan inisiatif baharu yang dipertingkatkan iaitu Program Kesetiaan Pelanggan ‘LBS Perks and Plusses’ dengan mengutamakan pembabitan pelanggan ke tahap yang lebih tinggi.

Program Kesetiaan Pelanggan ‘LBS Perks and Plusses’ adalah konsep yang direka khusus untuk memberikan manfaat dan ganjaran yang tiada tandingan dan berterusan kepada pembeli hartanah LBS.

Menerusi program ‘LBS Perks and Plusses’, LBS berhasrat untuk merevolusikan pengalaman pemilikan rumah dengan memberikan faedah, kemudahan dan ganjaran menarik kepada pelanggannya yang dihargai.

Ganjaran itu termasuk pembelian awal di samping menekankan konsep penghargaan kepada setiap pelanggan di dalam proses pemilikan rumah mereka.

Antara keistimewaan ‘LBS Perks and Plusses’ ialah pembabitan rakan kongsi dari pelbagai industri yang menyatakan kesudian untuk bekerjasama dan merealisasikan hasrat LBS untuk membawa program kesetiaan pelanggan ke tahap yang lebih tinggi.

Setakat ini, LBS berpeluang untuk bekerjasama dengan 26 rakan kongsi ternama dan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti Acson, Brynton Hotel, Bright Empire Hotpot, Blanc Dental, Coway, Columbia Asia Hospital, D’Marina Marketing, Decathlon, Everybody Electrical, Gintell, Goodnite International, Hypergear, Hospital Mata Tun Hussein Onn, Kiddocare, Karangkraf, Lifecare, Mamee, Metroflex, M3 Mall, OMS Kitchen, Panama, Scapes Hotel, The Gigabit, Watsons, Perfect Companion dan ZUS Coffee.

Mengulas mengenainya, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San, berkata LBS memahami kepentingan kesetiaan pelanggan dan dedikasi untuk mencapai kecemerlangan yang mana mendorong syarikat untuk mencipta ruang kediaman yang luar biasa sambil meningkatkan gaya hidup.

“Dengan ‘LBS Perks and Plusses’, kami berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan pembeli rumah di samping menawarkan pelbagai kelebihan eksklusif dan insentif yang unik.

“LBS beriltizam untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan yang tiada bandingannya. Menerusi program ini, pelanggan setia LBS akan menerima pelbagai manfaat daripada saluran sokongan khusus untuk menangani pertanyaan dan persoalan dengan segera, mencerminkan komitmen kami untuk membina hubungan yang berkekalan dan menawarkan nilai hebat kepada mereka yang selama ini telah menyokong perjalanan kami,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan, Hock San, berkata, peserta program terbabit akan memperoleh pelbagai keistimewaan, program rujukan, rebat tunai untuk pembelian rumah kedua, keutamaan akses kepada pelancaran projek baharu, penyenaraian hartanah eksklusif serta jemputan ke acara berkaitan.

“Selain itu, pembeli rumah juga berpeluang untuk menyertai kempen LBS Fabulous Extra 2022-23, dengan hadiah menarik bernilai sehingga RM1,500,000.

“Dengan tekad untuk mewujudkan penanda aras baharu dalam kepuasan pelanggan, cita-cita LBS adalah mudah tetapi mendalam, iaitu untuk membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan di samping menjamin perjalanan pembelian rumah mereka sebagai pengalaman yang luar biasa,” katanya.Keahlian ‘LBS Perks and Plusses’ adalah pelengkap kepada mana-mana pembeli individu atau korporat yang telah membeli hartanah LBS dan anak syarikatnya dengan harga pembelian minimum RM150,000